Pages

August 7, 2012

Bismillahirrahmanirrahim...

Agak lama dah aku tinggal kan blog. Rasanya dah berbulan-bulan menyepi. Banyak perkara yang terjadi..banyak dugaan, cabaran..namun aku tetap reda diatas ketentuan-Mu Ya Allah. Ingin aku berkongsi rasa, berkongsi perasaan. Bukan bermakna aku perlukan perhatian atau simpati. Sekadar meluahkan agar sama-sama fikir apa yang tersurat atas apa yang telah berlaku.

Aku sangat bersyukur kerana Allah hadiahkan aku seorang suami yang sangat memahami, sangat mengambil berat dan menyayangi aku. 24 July lalu genap perkahwinan kami setahun. Dan aku ada mak ayah adik2 dan keluarga yang sentiasa disisi. Ya, segalanya sempurna. Walau tidak selalu indah, namun kami saling memerlukan. Itulah keluarga, asam garam bergaduh, tapi ikatan kekal kukuh. Sekali lagi aku rasa bersyukur kerana aku ada kalian dalam hidupku.

December 2011. Tarikh permulaan satu fasa baru dalam hidupku juga suamiku. Aku disahkan mengandung 4minggu. Aku ingat lagi macam mana reaksi suami bila tahu aku mengandung. Gembira terkejut dan teruja..itu pasti. Dan aku tentunya yang paling gembira bila ada insan kecil dalam perutku. Sekali lagi aku panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Illahi. Mak ayah adik2 aku kongsikan berita gembira ini. Kata doktor aku dijangka akan bersalin 21 August 2012. Alhamdulillah...makin erat kasih sayang antara aku dan suami.

Maka bermulalah episod hidupku sebagai bakal ibu, dan bak kata yang dah berpengalaman, mengandung bukan lah sesuatu yang senang. Banyak dugaannya. Senak perut, loya, pening dah macam kawan baik. Selalu bertandang dan hanya kesabaran yang dapat aku katakan. Namun syukur, masuk usia kandunganku 4 bulan, morning sickness berkurangan. Dan apa yang bertambah? Hm...mestilah selera makan dan berat badan. Tak kesahlah asalkan aku dan baby sihat.

Memang tak dinafikan hari-hari aku sangat kepenatan, mana taknya.. Kerja, stress dan macam-macam ujian yang datang. Mungkin ini hanyalah 'test' untuk aku. Yela, dah ada anak nanti lagi besar 'test'nya. Rasa seronok kerana bakal ada anak dan aku berharap segalanya berjalan dengan sempurna. Segala apa yang berlaku, apa yang datang menguji, tak perlu aku ceritakan disini. Dengan adanya suami disisi, kami sama2 selesaikan masalah yang datang. Orang kata mood perempuan mengandung memang tak menentu. Kejap2 marah, kejap2 happy..dan paling tak dapat dielakkan terlebih sensitif. Pantang ada terguris sikit mula masam muka. Suami sangat memahami, kesian dia. Aku tahu dia kadang-kadang naik letih melayan kerenah aku, tapi demi isteri dan anak, dia sabarkan aja. Terima kasih abang.

Segalanya sempurna..sampailah satu hari..pada 1 July, pagi itu aku merasakan ada kelainan pada kandunganku. Hati berdebar tanpa sebab. Hati aku rasa sedih dan sakit yang amat sangat tapi aku tak tahu kenapa. Paling menakutkan, hari itu aku tak rasa tendangan atau pergerakan anakku. Aku risau, tapi aku pujukkan hati mungkin aku tak perasan pergerakan dia. Hari tu memang aku bercadang ke rumah mak, dalam kereta tak putus2 aku berdoa semoga semuanya selamat..dan aku kerap berbisik dalam hati 'sayang, tolonglah bergerak..tendang..atau buat apa sahaja biar mommy tau awak ok..'. tapi hampa..senyap. Disudut hatiku aku tau sesuatu dah berlaku.. petang itu aku ajak suami ke klinik. Aku cadang untuk scan..tengok si kecilku. Aku bagi tahu suami yang aku rasakan ada sesuatu yang tak kena..tapi suamiku menidakkan. Katanya mungkin hanya mainan perasaan aku. Sampai diklinik aku di beritahu kalau nak scan terpaksa tunggu sehingga lepas maghrib kerana doktor yang authorized untuk buat scan tak ada petang itu. Aku pujuk suami balik untuk solat maghrib dulu kemudian baru datang semula.

Selepas maghrib, dengan hati yang berdebar2 aku ke klinik.. Selesai solat tadi, air mata mengalir tiba2. Mungkin kerana aku risau sangat atau.......Ya Allah, tolonglah..

Bila doktor scan dan cuba mencari degupan jantung bayiku berkali-kali dia menekan perut ku sedikt kuat dari biasa. Namun tiada bunyi degupan dan tiada pergerakan bayiku pada screen, akhirnya doktor mengesahkan bayiku sudah tiada. Namun, doktor tetap suruh aku rujuk ke hospital..untuk pemeriksaan lanjut. Aku menangis..nak menjerit tak berdaya..nak melangkah keluar dari klinik pun payah. terasa kaki tak pijak tanah.. Suami minta aku tunggu dalam kereta sementara dia dapatkan surat rujukan doktor. Di dalam kereta aku menangis meraung sekuat hati..pandanganku kelam, mujur tak pengsan. Suami memujukku agar bersabar..kita pergi rujuk pakar dulu. Tapi aku yakin, anak aku dah tiada. Bukan aku putus harapan cuma gerak hati seorang ibu, aku dapat rasakan.. Aku menangis semasa sampaikan berita sedih pada mak..mak hanya mampu mengucap.

Malam itu juga aku ke hospital serdang..dan doktor disana juga mengesahkan anakku meninggal dalam kandungan. Ya Allah berat nya dugaanMu.. Setelah beberapa jam kemudian, doktor yang memeriksa aku suruh aku balik berehat, dan esok datang semula ke hospital. Kata doktor, aku mesti dimasukkan ke wad dan dipaksa bersalin. Esoknya aku dimasukkan ke wad. Malam pertama sangat menyeksakan. Kiri kanan aku nampak bayi, perempuan mengandung yang tunggu waktu bersalin..aku menangis mengenang nasib sampai tertidur. Doktor memberi aku ubat induce untuk paksa bersalin. Ubat ni akan mencetuskan konstraksi/sakit bersalin. Selama aku di wad, suami, mak ayah, mak mertua dan saudara-mara datang menjenguk. Masuk hari ke dua aku masih lagi tidak bersalin, sempat juga berkenalan dengan pesakit2 hospital untuk mengilangkan kesedihan. Aku rasa sedikit cemburu bila melihat sebahagian mereka yang sudah bersalin memeluk anak kecil. Aku kena tabah. Sepanjang aku di wad, suami ku hanya tidur beberapa jam, itu pun dalam kereta. Dia hanya balik kerumah sekejap dan datang balik. Kesian suamiku, kepenatan..

Jam 9 malam, 4 july, aku makin kerap sakit..sampai tak boleh berjalan. Aku panggil nurse..doktor datang memeriksa kata dia bukaan rahim dah 8cm..aku segera di hantar ke wad bersalin. Aku call suami untuk bagi tahu yang aku dah nak bersalin. Sakit makin terasa..bila suamiku sampai, reda sedikit ketakutan aku.. aku mengerang sakit, doktor mengatakan aku kena tunggu sampai bukaan rahim menjadi 10cm dulu..baru boleh meneran. Ya Allah, begini rasanya sakit nak bersalin..sakit sangat ya Allah.. Aku berdoa dalam hati agar segalanya selamat. Pukul 11 lebih akhirnya aku selamat melahirkan bayiku. Sedih aku rasakan bila aku sedar anakku dah tak ada lagi dalam perutku, lebih memeritkan...anakku dah meninggal dunia. Tak sempat melihat wajah mommy dan ayah dia. Doktor kata fizikal bayiku normal.,sempurna. Jadi sebab kematian masih tak tahu. Doktor akan buat pemeriksaan pada uri, sample darah keatas bayiku. Kesian si kecil mommy..awak pergi dulu. Ya Allah aku reda ya Allah..

Keesokkan harinya, bayiku selamat dikebumikan. Dan segala kesedihan ini akan aku ingat selamanya. Terima kasih pada suami yang banyak berkorban dan mak ayah juga keluarga..yang banyak beri semangat. Aku kuat kerana adanya kalian.. Segala yang berlaku kehendak Allah. Aku reda, semuanya ada hikmah. Aku percaya.. Anak ku dah dijanjikan syurga Allah, dia dah bahagia di sisi Tuhan yang Esa. Kita yang masih hidup ni, belum tau nasib di sana nanti. Ya Allah, aku bersyukur, walau anakku dah pergi menghadap Mu, dan aku masih lagi merindui si kecilku, namun pengalaman yang aku dapat semasa mengandung dan bersalin amatlah bermakna.

Sayang, tunggu mommy dan ayah di syurga.. Mommy tak menyesal dengan apa yang dah jadi, malah  mommy bangga sebab mommy ada kamu. Si kecil yang mommy sayang sepenuh hati mommy. InsyaAllah, kita akan berjumpa di sana nanti,

Ya Allah, kuatkan hati hambaMu ini, aku reda di atas ketentuan Mu. Rahmatilah hambaMu ini dengan kasih sayang Mu Ya Allah.. kau sejahterakan suamiku yang banyak berkorban untukku juga keluarga ku yang ku sayangi. Dan kau peliharalah kami semoga menjadi hambaMu yang taat dan beroleh syurgaMu. Ya Allah, berkatilah hambaMu ini, dan ampunkanlah segala dosa-dosaku..amiin.

Segala apa yang berlaku adalah kehendakNya. Sekali lagi aku mengucapkan syukur diatas dugaanMu ini. Dan kepada anakku, sejahteralah kamu disana kerana kamu adalah tetamu Allah sekarang. Mommy sayang kamu..Nur Khayla Suffiya.